Rabu, 20 Juli 2011

Corak Dan Motif Songket

Kecantikan songket terletak pada reka corak yang halus dan rumit, serta motif yang dihasilkan di atas kain tenunan tangan. Terdapat lebih dari 100 motif tradisional yang ditenun di atas kain songket sarung. Penenun-penenun tradisional biasanya tinggal di kampung-kampung yang dikelilingi oleh bermacam-macam jenis pokok buah-buahan atau berdekatan dengan laut dan sering mengalami musim tengkujuh. Mereka sangat kreatif dan mempunyai daya imaginasi yang kuat dan pemerhatian yang tajam. Kebanyakkan motif songket datangnya dari nama-nama pokok dan sesetengah motif songket datangnya daripada nama kuih Melayu dan dipercayai kuih-kuih ini adalah kesukaan raja-raja seperti ‘seri kaya’, ‘wajik’ dan ‘tepung talam’.

Terdapat banyak corak dan motif pada kain songket. Kadang-kadang motif yang sama tetapi mempunyai nama yang berbeza. Sebagai contoh motif ‘bunga bintang’ di negeri Kelantan, ‘tapak sulaiman’ di negeri Sarawak.

Pakar penenun di Terengganu dan Kelantan sekarang jarang sekali mendraf atau merekakan corak songket terlebih dahulu sebelum mereka mula menenun. Biasanya mereka akan meniru terus daripada contoh-contoh songket lama yang mereka simpan. Kadang-kadang mereka mengambil corak daripada sarung songket yang lain apabila cork ini menjadi kegemaran ramai. Bagaimanapun untuk membuat corak-corak songket, seseorang itu perlu mempunyai sifat-sifat penyabar, baik dari segi penglihatan mahupun ingatan.

Struktur kain songket terdiri daripada:

a) Badan kain
b) Kepala kain / petak kain
c) Tepi kain / kaki kain
d) Pengapit kepala kain
e) Tanah kain
f) Punca
g) Pengapit badan kain
h) Kaki punca
i) Kendik

Jenis-jenis Utama Corak Songket

Corak pada kain songket terdapat enam jenis yang utama seperti berikut:

1) Songket bunga penuh
2) Songket bunga bertabur
3) Songket corak jalur
a) Jalur corak berdiri
b) Jalur corak melintang
c) Tepi kain
4) Songket corak siku keluang (zig-zag)
5) Songket tapak catur
6) Songket pucuk rebung


Corak kain songket kontemporari

Menurut pengusaha kain songket Encik Mohamed Hussein di Cik Minah Songket negeri Kelantan, corak kain songket temporari yang ada di negeri itu tidak banyak perbezaannya jika dibandingkan dengan corak songket masa dahulu. Corak songket temporari yang ada adalah berdasarkan kehendak dan citarasa pengguna kain songket. Walaubagaimanapun motif bunga-bungaan yang ada pada kain songket kini adalah motif yang dianggap moden berbanding dengan motif bunga pada zaman dahulu. Contohnya motif bunga raya, bunga ros, tumbuh-tumbuhan seperti paku-pakis, rempah-ratus, motif pua kumbu dari negeri Sarawak, motif tulisan,motif logo syarikat dan sebagainya. pekerja-pekerja dari sektor kerajaan kini telah mewajibkan pekerja-pekerja mereka memakai songket pada hari Jumaat iaitu memakai sampin dan baju melayu bagi kaum lelaki khususnya dan menunaikan solat Jumaat.


Nilai-nilai estetik pada corak songket kontemporari

Corak kain songket masa kini sudah banyak perbezaannya dari segi pengolahan susun atur dan motif yang digunakan mengikut kehendak pengguna. Zaman sekarang pengusaha kain songket lebih mengutamakan citarasa pelanggan mereka. Pelanggan boleh menempah motif-motif yang mereka minati. Bagi pengguna kain songket ini konsep keindahan dapat dinikmati pada sesuatu motif itu berdasarkan citarasa dan selera si pemakai. Begitu juga dengan syarikat-syarikat dan badan-badan tertentu yang menjadikan motif tulisan atau logo mereka untuk dijadikan motif pada kain songket sebagai pakaian rasmi syarikat mereka. Jelas di sini menunjukkan bahawa penggunaan motif kain songket kini mendapat satu era pembaharuan tentang pengaplikasiannya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar