Rabu, 20 Juli 2011

Definisi Songket

Kain songket merupakan tenunan yang dihasilkan daripada jalinan benang longsin (yang menunggu) dengan benang pakan (yang mendatang). Proses pada asasnya mudah, ini dapat menghasilkan ciptaan seni tampak yang indah dan menjadi kebanggaan bangsa. Pusat tenunan di Semenanjung bermula di Terengganu. Pada masa ini Terengganu dan Kelantan adalah pusat pengeluaran kain tenunan.

Tenunan sutera mempunyai corak yang mudah seperti corak Muar (susun melintang dan berdiri); corak Bugis (susunan bersegi kecil), corak melintang tapak catur, kain limar, kain pelangi, corak parang, rosak, hingga ke tenunan songket dengan corak bintang bertabur, jong sarat, dan teluk berantai.

Nama “kain songket” berasal daripada teknik membuat songket, iaitu menyongket atau menyolek bunga (emas) pada tenunan sutera. Pada amnya songket terbahagi kepada dua jenis, iaitu tekat tiga dan tekat lima. Nama tekat itu berkaitan dengan penggunaan bilangan lembaran benang sutera dan jarak antara lembaran benang emas yang disongket. Tekat tiga lebih sukar dan rumit daripada tekat lima dan hasilnya lebih halus. Penggunaan benang emas yang dikembar dua yang dilakukan dengan selembar benang sutera akan menghasilkan tenunan yang lebih bermutu dari segi teknik dan kesan.


Reka bentuk kain songket mengandungi badan, kepala, pucuk rebung, atau bunga lawi ayam (dalam bentuk pucuk rebung), diapit di antara kepala dan tepi kain.

Antara motif songket yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan ialah pucuk rebung, bunga lawi ayam, bunga baling, tapak kecupu, bunga tanjung, bunga cermai, bunga setelop, tampuk kesemak, tampuk manggis, dan buah delima. Manakala corak-corak songket yang abstrak dinamakan kasap, pecah lapan, tapak kacip, potong wajik, bunga tiga dara, bunga logam, bunga kerongsang, dan jong sarat.

Motif yang diilhamkan daripada alam sekitar pula dinamakan bintang buta, air molek, awan larat, dan teluk berantai. Yang diilhamkan daripada haiwan ialah bunga lawi ayam, unduk-unduk, bunga hati, dan sisik kelah.

Kain songket menggunakan warna seperti merah asam jawa, merah darah ikan, merah jambu, kuning penang masak, kuning lemak ketam, kuning tanah liat, kuning kunyit, hijau pucuk pisang, hijau serindit, hijau batang bemban, hijau lumut, hijau terusi, biru air laut, biru manis, ungu biji rembia (butir setar), ungu manis, kelabu asap, dan hitam.

Proses menenun adalah sama bagi kebanyakan negeri di Semenanjung Melayu. Perbezaannya mungkin terdapat dalam penggunaan alat-alat tenunan, istilah-istilah yang diberikan kepada proses menenun dan corak bunga songket yang digunakan.

Pada amnya menenun songket terdiri dari lapan proses. Proses ini diturunkan secara rahsia dari satu generasi ke generasi yang lain oleh penenun yang mahir. Penenun ini hanya menyampaikan pengetahuan dan kemahiran menenun kepada anak-anak dan cucu-cicit yang berminat sahaja.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar